Wednesday, April 21, 2010

Penanaman Daun Saderi



Sumber : ms.wikipedia.org..

- Beli Daun Saderi dari pasar yang mempunyai akar.
- Rendamkan pokok daun saderi itu di dalam bekas yang berisi air paip selama lebih kurang 1 hari.
- Semasa hendak tanam, potong daunnya (untuk dibuat masakan) dan tinggalkan akar dan pangkal pokok lebih kurang 1 – 2 inci.
- Tanam dalam pasu dan pastikan tanahnya sentiasa dijirus air dan sentiasa lembab.
- Letak ditempat teduh. Jangan jirus air terlalu banyak kerana ia akan reput.
- Untuk menggunakan daun sup untuk masakan, jangan cabut keseluruhan pokok tersebut.
- Setakat ambil sahaja daunnya sahaja sebanyak mana yang diperlukan dan yang selebihnya boleh diambil apabila diperlukan supaya anda sentiasa mendapati daun yang segar.
- Lebih elok ambil daun yang lama dan biarkan pokoknya tumbuhkan daun baru.

Monday, April 12, 2010

PETUA RUMPUT HIJAU




Oleh Bennie Zie Fauzi

RUMPUT perlu disiram supaya tidak layu dan kering.

Pagi atau sejurus matahari terbenam masa paling sesuai siram laman

Memiliki halaman berumput yang subur dan rapi tidak perlu berbelanja besar. Sebaliknya, ia boleh diperoleh dengan merujuk buku, majalah, internet malah pakar landskap yang sudi mendedahkan cara menjaga dan memeliharanya.

Sebaik asas penjagaan diketahui, anda mampu melakukannya sendiri. Malah, silap gaya, jiran dan rakan pula datang meminta diperturunkan petua dan ilham membentuk halaman indah.

Memangkas dan menyabit rumput perkara paling asas menzahirkan halaman terjaga rapi. Bagaimanapun tekniknya perlu betul terutama jika ini membabitkan pengalaman pertama anda memangkas dan menyabit rumput.

Jika ini kali pertama anda melakukannya, pastikan hayunan sabit anda mencecah hingga ke akar rumput. Selain membuang rumput mati, tujuan utamanya ialah membenarkan rumput baru dan lebih hijau tumbuh dengan cepat. Pastikan kawasan berumput itu dicakar dan digembur sekalipun tidak keseluruhan rumput halaman anda potong dan pangkas. Cara ini dipercayai membantu menyuburkan tanah sekali gus menggalakkan pertumbuhan rumput baru yang lebih subur.

Kali kedua memotong rumput, pastikan mata sabit tidak dihayun terlalu dalam.

Ketika cuaca panas terik pastikan layahan sabit tidak mengena tanah yang mengakibatkan rumput bertukar kekuningan. Seperti pokok dan bunga, halaman juga perlukan siraman supaya tidak layu dan kering. Sebelum itu, penting bagi anda mengenalpasti spesies rumput dan jenis tanah bagi mengagak jumlah dan kadar siraman yang diperlukan.

Jangan sesekali menyiram halaman selepas hujan kerana ini menjadikan tanah tepu dan pada akhirnya rumput akan mati.

Detik terbaik menyiram halaman adalah pada awal pagi atau sejurus matahari terbenam. Ketika ini proses pemeluwapan kurang berlaku sekali gus membantu air meresap jauh ke dalam tanah.

Baja antara factor penentu kesuburan tanah. Justeru, penting bagi anda mengenal pasti jenis tanah. Jika tidak pasti, bawa contoh tanah kepada pakar landskap dan pusat semaian supaya mereka boleh mencadangkan jenis baja yang sesuai untuk halaman anda.

Ada dua jenis baja untuk dipilih iaitu kimia atau organik.

Apapun pilihan anda, pastikan arahan penggunaannya dipatuhi kerana terlebih meletak baja boleh merosakkan halaman.

Seperkara yang tidak semua orang tahu ialah tanah dan akar rumput memerlukan udara untuk bernafas terutama bagi tanah jenis padat.

Untuk menguji kepadatan tanah, tuang sedikit air ke dalam tanah dan tunggu beberapa minit untuk melihat keupayaannya meresap air.

Tanah yang gagal meresap air bermakna mempunyai karbon dioksida yang berkumpul di dalamnya.

Cara paling mudah menanganinya ialah tebuk lubang halus mengikut jarak tertentu di tanah. Tujuannya supaya oksigen dan air dapat meresap sampai ke akar. Lubang berkenaan seharusnya berliang kecil dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

JENIS RUMPUT HIASAN:

• Cow grass
Cow grass atau nama saintifiknya Axonopus compressus (ada yang mengatakan Paspalum conjugatum) ini amat disyorkan ditanam di halaman rumah. Mudah dijaga kerana tidak perlu banyak baja dan tahan serangan serangga serta penyakit. Lambat panjang melainkan diberi lebih baja. Berakar pendek menyukarkannya hidup dalam cuaca kemarau.

• Bermuda grass
Cynadon dactylon adalah hibrid "perkahwinan" di antara Cynodon dactylon dengan Cynodon transuaalensis.
Rumput ini hidup subur dalam cuaca panas terik juga berupaya menerima hujan yang banyak. Dalam cuaca tidak menentu, daunnya tumbuh kurus dan panjang. Sesuai untuk kawasan lapang seperti padang golf, bola dan taman permainan lapang.

• Serangoon grass
Digitaria didactyla lazimnya hidup di kawasan tropika dan subtropika. Keistimewaannya ialah ia tahan banjir (namun dalam jangkamasa pendek) dan mampu mengharungi kemarau dengan mengecut dan menggugurkan daunnya. Penjagaannya tidak cerewet kerana lambat panjang dan tidak bergantung hidup dengan baja. Namun, warna hijau mudanya itu menyebabkan ia kurang diminati untuk dijadikan rumput laman.

• Zoysia grass
Zoysia matrella atau kekadang Zoysia japanica, Zoysia tenufolia serta sesetengah hibrid terdiri daripada Zoysia japanica dan Zoysia tenufolia tergolong di bawah keluarga ini. Warna hijau mudanya sama dengan Serangoon grass tetapi daunnya lebih kurus. Tumbuh menegak berbanding mendatar sekali gus menjadikan kerja memotong sekali ganda lebih banyak. Cantik apabila dibela rapi namun kos penyelenggaraannya tinggi kerana memerlukan banyak baja. Mempunyai kandungan silika lebih banyak berbanding rumput biasa menjadikannya keras. Disebabkan itu ia sesuai menghiasi padang bola dan golf biarpun ‘kelasakannya’ di kotak penalti diragui. Matrella dan japonica dibezakan menerusi bunga matrella yang berwarna merah.

TIP

Menanam rumput

Tiada beza menanam rumput dengan pokok kerana kedua-duanya ada kaitan dengan minat, sebab dan keperluan. Normas Yakin, Pengurus rumput turf menerusi laman webnya http://www.mynormas.com menasihatkan anda mengenal pasti terlebih dulu tujuan penanaman sebelum ke pusat semaian memilih jenis rumput;

• Kegunaan. Adakah tujuan rumput ditanam semata-mata memperindah halaman rumah, menghiasi taman kanak-kanak, bagi tujuan rekreasi berupa padang bola, golf dan sebagainya. Lain kegunaan maka lain jenis rumputnya.

• Tahap penjagaan membabitkan kesanggupan anda mem
elihara dan memuliharanya. Misalnya berapa kerap diperuntukkan untuk memotong dan membajanya, berapa jam dalam sehari anda membuang rumput liar serta menanam rumput baru dan sebagainya.

• Kawasan penanaman - adakah ia ditanam berdekatan bangunan atau halaman banyak pokok?
Sesetengah jenis rumput memerlukan lebih enam jam sehari cahaya matahari.

• Perbelanjaan untuk baja dan racun penjagaan.

Wednesday, April 7, 2010

SALAM DARI BUMI HIJAU



Salam kepada semua.
Kami akan cuba membantu anda untuk memberikan maklumat serba sedikit mengenai Bumi Hijau.
Sekiranya anda semua ingin berkongsi bersama kami maklumat, petua dan sebagainya mengenai alam kita bolehlah bersama-sama kami untuk menghijaukan bumi kita.
Sebagai permulaan, saya mewakili semua mengucapkan Selamat Datang ke blog Lajnah Pertanian. Semoga kehadiran kami ini dapat serba sedikit membantu anda semua