Saturday, May 1, 2010

Katakan TIDAK pada beg plastik !!

Adakah anda sedar pada 22 April setiap tahun merupakan hari yang didedikasi khas sebagai Hari Bumi (Earth Day) ? Ianya juga nama bagi dua sambutan berbeza iaitu ketika musim bunga di hemisfera utara dan ketika musim luruh di hemisfera selatan. Hari ini sebenarnya diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat kepada alam sekitar.

Apakah sebenarnya fungsi bumi ini?

Di dalam al-Quran ada dijelaskan bahawa bumi ini dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai sebuah hamparan dan mempunyai permukaan yang lembut supaya senang manusia menjalankan aktiviti pertanian, mendirikan bangunan, memecahkan tanah untuk membuat jalan-jalan dan sebagainya. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Dialah yang menjadikan bumi mudah bagi kamu untuk digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)” Surah al-Mulk [67:15].

Bumi yang diciptakan Allah S.W.T. adalah bersih dari segala kekotoran dan disediakan untuk manusia mendiaminya sebagai tempat persinggahan. Di media-media tempatan dan luar negara, kita boleh lihat dan baca, saban hari bumi tercemar, setiap hari bumi semakin tua dan berpenyakit angkara sifat rakus kita sendiri. Mungkin 40 tahun, atau 50 tahun akan datang anak cucu keturunan kita tidak akan dapat merasai apa yang kita rasa sekarang?

Oleh itu, apakah yang kita semua boleh lakukan bagi mengurangkan “kesakitan” bumi ini? Kitar semula? Guna basikal sebagai pengangkutan utama?

Macam-macam cara kita boleh laksanakan. Tahukah anda, sekiranya 34 kg kertas terbuang dikitar semula, ianya dapat menyelamatkan sebatang pokok.

Salah satu contoh seperti keratan akhbar The Sun ini, marilah kita sama-sama menyokong penggunaan beg kitar semula semasa membeli-belah dan cuba mengurangkan penggunaan beg plastik. Buat pengetahuan anda, beg-beg plastik mengambil masa selama 1000 tahun untuk dilupuskan. Seperti yang dilaporkan di akhbar The Sun, dua buah negeri di Malaysia telah mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik iaitu Selangor (hari Sabtu) dan Pulau Pinang (hari Isnin).




Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua buah kerajaan negeri ini kerana telah memulakan usaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar secara serius.

Tugas pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebenarnya merupakan tanggungjawab setiap dari kita yang mendiami alam ini, tanpa mengira batasan agama. Setiap agama dan kepercayaan di dunia ini mempunyai panduan tertentu dalam menyatakan perhubungan mengenai manusia dan alam sekitar. Apa yang penting adalah keupayaan dan usaha penganut setiap agama dalam merealisasikan prinsip-prinsip dan panduan yang menjadi amalan kehidupan seharian.

Dalam Islam sendiri, alam ini merupakan manifestasi keagungan Allah S.W.T. dan seringkali berada di dalam ayat-ayat Al-Quran untuk manusia memahami hakikat kewujudan dan keagungan Allah S.W.T. Kesejahteraan alam ini perlu dipelihara kita sebagai tanda kesyukuran dan demi mendapat keredhaan-Nya.

Ingat! Hasil dan kesan daripada perlakuan kita pada hari ini akan menentukan kesejahteraan alam pada masa akan datang.

Oleh itu, jom kita sama-sama kitar semula! =)




- dari meja Lajnah Pertanian -

1 comment:

  1. Assalammualaikum..
    Suka youtube tu.. nak join skalilah..

    ReplyDelete