Tuesday, May 4, 2010

BERKEBUN DI RUMAH

Hampir semua negara di dunia kini merasai kesan daripada harga makanan yang meningkat secara mendadak serta kedudukan ekonomi yang tidak menentu. Justeru, bagi membantu para pengguna di Malaysia mengurangkan kesan ini ialah melalui amalan berkebun sendiri.

Tanah merupakan satu anugerah semula jadi yang banyak terdapat di Malaysia. Kita sering mendapati banyak tanah yang terbiar di kawasan bandar dan luar bandar yang dipenuhi dengan rumput rampai dan tanaman-tanaman yang tidak mendatangkan hasil. Kini anda boleh enanam sayur-sayuran dan buah-buahan yang anda sukai di halaman atau kebun di rumah anda. Penghuni rumah pangsa dan rumah teres yang tidak mempunyai kawasan bertanah pula boleh menanam sayur-sayuran di dalam pasu atau beg poli di rumah mereka.

Negara kita amat bertuah kerana dikurniakan dengan cahaya matahari dan hujan yang banyak. Kedua-dua sumber ini amat diperlukan untuk bercucuk tanam di rumah. Dengan melakukan kerja yang sedikit sahaja ia boleh memberikan pulangan yang lumayan.


KENAPA PERLUNYA BERKEBUN DI RUMAH

Terdapat banyak sebab mengapa kini ramai orang yang suka menanam buah-buahan dan sayur-sayuran di rumah, antaranya :

1. Ia dapat mengurangkan perbelanjaan seharian untuk membeli sayur-sayuran dan buah-buahan yang harganya semakin meningkat pada masa ini.
2. Anda boleh mendapatkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar daripada taman anda sendiri.
3. Anda boleh mendapatkan makanan seperti cili, daun kari dan ulam dengan mudah sekali.
4. Anda mengambil makanan yang sihat kerana ia bebas daripada racun perosak atau racun serangga.
5. Ia boleh dijadikan sebagai hobi yang boleh membawa keseronokan kepada ahli keluarga anda.
6. Anak-anak anda sendiri mengetahui dari mana datangnya sumber untuk makanan mereka.
7. Anda akan lebih menghargai nilai makanan dan tidak akan mensia-siakannya kerana ia hasil titik peluh anda sendiri.
8. Memberikan kepuasan kerana dapat makan buah-buah dan sayur-sayuran dari dalam taman anda sendiri.
9. Menggunakan tanah yang kosong untuk berkebun dapat mengelakkan daripada pembaziran kepada sumber tanah.
10. Hasil tanaman dapat menghijaukan kawasan halaman dan memberikan pemandangan rumah yang indah.
11. Jika menanam dalam kuantiti yang banyak, hasil tanaman boleh dikongsi bersama-sama dengan jiran atau menjualnya untuk mendapatkan wang tambahan.
12. Anda dapat menikmati makanan organik yang dihasilkan sendiri dengan kos yang rendah kerana harga hasil pertanian secara organik amat tinggi di pasaran.


APA BOLEH ANDA LAKUKAN?

1. Berkebun sendiri merupakan cara untuk kita (bagi yang belum memulakan – kini merupakan masa terbaik untuk memulakannya, manakala yang telah memulakan usaha berkebun, teruskan usaha ini) bertanggungjawab dalam menjalani kehidupan yang sihat.
2. Menuai dan menggunakan air hujan untuk menyiram halaman rumah. Ini bukan sahaja mengurangkan bil air, tetapi juga menggunakan air dengan lebih berkesan.
3. Selalulah bertukar-tukar maklumat dengan rakanrakan atau tetamu tentang cara untuk menghapuskan rumpai dan perosak tanaman serta cara menghasilkan tanaman yang lebih baik.
4. Bercucuk tanam sebagai landskap, seperti di halaman rumah atau pasu bunga di balkoni.
5. Anda boleh menggunakan sama ada baja organic atau baja kimia. Bagi baja organik. Campurkan sebahagian sisa organik (daun-daun kering, kulitkulit kerang telur, kulit-kulit buah, beg-beg teh) dengan tanah dan biarkan ia selama beberapa minggu. Ia akan menjadi baja asli yang amat baik untuk tanaman anda.
6. Bukan semua serangga adalah perosak. Cacing yang terdapat dalam tanah boleh membantu menjadikan tanah lembut dan amat sesuai untuk bercucuk tanam.
7. Bercucuk tanam mengikut kesesuaian taman. Jika anda mempunyai kebun yang besar, anda boleh menanam apa jua tanaman yang disukai, termasuk tanaman yang memerlukan ruang yang luas untuk membesar. Sekiranya anda mempunyai kawasan tanah yang kecil, lebih baik jika menanam beberapa batang cili dalam pasu, atau beberapa jenis sayur-sayuran dalam beg poli.
8. Jaga keadaan tanah anda. Lebih banyak perlindungan dibuat, ia akan mengurangkan penggalian dan pengairan. Adalah baik jika anda belajar cara membuat kompos kerana ia dapat menghasilkan tanaman yang segar dan menjimatkan masa.


Penyediaan Tanah

Tanah yang subur menghasilkan tanaman yang sihat. Tidak sukar untuk menghasilkan
tanah yang subur.

Sayur-sayuran memerlukan kandungan nutrisi, air dan oksigen. Tanah memainkan peranan penting dalam menyediakan nutrisi untuk tanaman. Penggalian tanah amat penting untuk menghasilkan tanaman yang sihat.


BERCUCUK TANAM?

Menanam sayur-sayuran sendiri dalam kawasan halaman lebih mudah. Di sini terdapat beberapa panduan berguna yang boleh diamalkan.

Secara umumnya terdapat dua jenis sayur-sayuran:
1. Sayur-sayuran berdaun
2. Sayur-sayuran berbuah.


Cara berkebun sayur-sayuran berdaun

1. Sediakan batasan seluas 1m dan 20 cm tinggi (panjang mengikut ruang yang sedia ada). Biarkan selama seminggu.
2. Letakkan di atas batasan tersebut baja tahi ayam sebanyak 0.5 kilogram dan 25 gm sebatian baja bagi setiap meter persegi. Biarkannya ia selama seminggu.
3. Semaikan benih sayur-sayuran secara berderet. Jarak antara deretan dan tanam-tanaman seperti yang dinyatakan di bawah:



4. Sediakan tempat perlindungan daripada matahari dengan menggunakan daun besar sebaik sahaja semaian telah dilakukan dan buang ia apabila tanaman telah membesar.
5. Jarakkan tanaman dalam tempoh 1 minggu hingga 2 minggu selepas semaian
6. Taburkan baja NPK sebanyak 20 gm setiap meter persegi selang seminggu sehingga tempoh seminggu sebelum tanaman dituai.
7. Binatang Perosak. Siput – buangkan siput di sekitar batasan tanaman sebelum waktu malam. Serangga - buangkan larvanya.



Campurkan tanah dengan baja tahi ayam dan baja NPK seminggu sebelum penuaian



Taburkan baja NPK di tepi tapak

Kaedah penanaman sayur–sayuran berbuah

1. Sediakan tapak tanaman yang berukuran 1m luas dan 20 cm tinggi (panjang mengikut ruang lapang). Bajak tanah tersebut.
2. Bagi setiap meter persegi, letakkan 0.5 kilogram tahi ayam dan 25 gm baja sebatian NPK. Biarkan selama seminggu.
3. Meletakkan 3 biji benih sayur ke dalam setiap lubang tanah yang sedalam 2 cm dan tutup biji benih tersebut dengan tanah. Tanam dalam dua barisan. Jarak antara deretan dan tanaman seperti dinyatakan di bawah:



4. Susun pancang-pancang setinggi 1m menurut jarak yang dinyatakan seperti di atas untuk sayur-sayuran yang melilit (kekacang, labu-labu, timun dan sebagainya). Lihat gambar di bawah.



5. Siram tanaman tersebut dua kali sehari.
6. Pastikan dalam tempoh penanaman tersebut, baja NPK sebanyak 20gm setiap persegi tanah dimasukkan ke dalam tanah selang 1-2 kali seminggu. Semasa dalam tempoh berbuah, baja ini perlu ditambah sebanyak 30gm untuk setiap persegi tanah. Siram air yang mencukupi selepas setiap penambahan baja.
7. Tutup buah-buahan yang masih muda ini dengan plastik atau beg kertas.

Langkah Keselamatan semasa berkebun

1. Selalu memakai sarung tangan dan kasut atau but yang bersesuaian semasa berkebun.
2. Semasa membuang batu-batu, tin, kayu api dan sebagainya, lakukan secara perlahan-lahan agar sesuatu benda yang tersembunyi di sebaliknya dapat ditanggalkan dengan baik.
3. Sentiasa memeriksa but, sarung tangan dan pakaian sebelum memakainya. Jika ia telah terbiar dalam tempoh tertentu, goncangkan ia dengan kuat. Anda mungkin tidak mengetahui apa yang terdapat di dalamnya!
4. Perhatikan jika sesuatu tumbuh-tumbuhan itu jenis yang beracun sebelum menanamnya di kawasan rumah.
5. Jangan sekali-kali memasukkan jari ke dalam lubang-lubang di dalam tanah.

www.kkk.org.my

Saturday, May 1, 2010

Katakan TIDAK pada beg plastik !!

Adakah anda sedar pada 22 April setiap tahun merupakan hari yang didedikasi khas sebagai Hari Bumi (Earth Day) ? Ianya juga nama bagi dua sambutan berbeza iaitu ketika musim bunga di hemisfera utara dan ketika musim luruh di hemisfera selatan. Hari ini sebenarnya diadakan untuk meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat kepada alam sekitar.

Apakah sebenarnya fungsi bumi ini?

Di dalam al-Quran ada dijelaskan bahawa bumi ini dijadikan oleh Allah S.W.T. sebagai sebuah hamparan dan mempunyai permukaan yang lembut supaya senang manusia menjalankan aktiviti pertanian, mendirikan bangunan, memecahkan tanah untuk membuat jalan-jalan dan sebagainya. Hal ini dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud :

“Dialah yang menjadikan bumi mudah bagi kamu untuk digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya)” Surah al-Mulk [67:15].

Bumi yang diciptakan Allah S.W.T. adalah bersih dari segala kekotoran dan disediakan untuk manusia mendiaminya sebagai tempat persinggahan. Di media-media tempatan dan luar negara, kita boleh lihat dan baca, saban hari bumi tercemar, setiap hari bumi semakin tua dan berpenyakit angkara sifat rakus kita sendiri. Mungkin 40 tahun, atau 50 tahun akan datang anak cucu keturunan kita tidak akan dapat merasai apa yang kita rasa sekarang?

Oleh itu, apakah yang kita semua boleh lakukan bagi mengurangkan “kesakitan” bumi ini? Kitar semula? Guna basikal sebagai pengangkutan utama?

Macam-macam cara kita boleh laksanakan. Tahukah anda, sekiranya 34 kg kertas terbuang dikitar semula, ianya dapat menyelamatkan sebatang pokok.

Salah satu contoh seperti keratan akhbar The Sun ini, marilah kita sama-sama menyokong penggunaan beg kitar semula semasa membeli-belah dan cuba mengurangkan penggunaan beg plastik. Buat pengetahuan anda, beg-beg plastik mengambil masa selama 1000 tahun untuk dilupuskan. Seperti yang dilaporkan di akhbar The Sun, dua buah negeri di Malaysia telah mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik iaitu Selangor (hari Sabtu) dan Pulau Pinang (hari Isnin).




Tahniah dan syabas diucapkan kepada kedua-dua buah kerajaan negeri ini kerana telah memulakan usaha menyedarkan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar secara serius.

Tugas pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebenarnya merupakan tanggungjawab setiap dari kita yang mendiami alam ini, tanpa mengira batasan agama. Setiap agama dan kepercayaan di dunia ini mempunyai panduan tertentu dalam menyatakan perhubungan mengenai manusia dan alam sekitar. Apa yang penting adalah keupayaan dan usaha penganut setiap agama dalam merealisasikan prinsip-prinsip dan panduan yang menjadi amalan kehidupan seharian.

Dalam Islam sendiri, alam ini merupakan manifestasi keagungan Allah S.W.T. dan seringkali berada di dalam ayat-ayat Al-Quran untuk manusia memahami hakikat kewujudan dan keagungan Allah S.W.T. Kesejahteraan alam ini perlu dipelihara kita sebagai tanda kesyukuran dan demi mendapat keredhaan-Nya.

Ingat! Hasil dan kesan daripada perlakuan kita pada hari ini akan menentukan kesejahteraan alam pada masa akan datang.

Oleh itu, jom kita sama-sama kitar semula! =)




- dari meja Lajnah Pertanian -